Showing posts with label Guru. Show all posts
Showing posts with label Guru. Show all posts

Wednesday, August 3, 2011

Lagi 3,793 Guru Sandaran Dilantik Semula.



KUALA LUMPUR 2 Ogos - Seramai 3,793 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) daripada baki 7,258 orang yang belum dilantik telah dilantik semula ke jawatan itu berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan pelantikan itu dibuat menerusi perjumpaan khas antara kementeriannya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Kementerian Kewangan pada 30 Jun lalu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Rosli Mohamed pada 1 Julai lalu.

"Seramai 972 orang daripada kumpulan yang dilantik ini akan mengikuti latihan perguruan selama 18 bulan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Disember ini.

"Seramai 2,821 yang lain akan mengikuti latihan perguruan di institut pendidikan guru (IPG) untuk sesi pengambilan Januari 2012,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Pada bulan Mac lalu, kerajaan telah mengumumkan seramai 13,184 GSTT tahun 2010 akan dilantik semula bagi tahun 2011 dan berikutan itu pada Mei lalu seramai 5,926 orang telah dilantik sebagai GSTT semula dan tinggal baki seramai 7,258.

Sunday, May 15, 2011

Jasamu Dikenang.


Gambar hiasan

Segala bakti yang engkau curahkan
mengajar mendidik anak bangsa
segala jasa yang engkau taburkan
menjadi kenangan tak akan kami lupakan.

Engkau laksana pelita di malam gelita
memancarkan sinar sepenuh rela
jiwamu tabah hatimu cekal
kasihmu suci semangatmu berkobar
yang tak pernah mengenal erti putus asa
yang tak pernah meminta puji dan puja.

Jasamu tak akan luput dalam ingatan kami
sepanjang hayat mekar di sudut had
tiap sepatah katamu mengisi erti
tiap madahmu mengandungi hikmat
pembentuk peribadi penegak kebenaran
pengatur hidup petunjuk kebahagiaan.

Hanya kata-kata ini yang dapat kami lafazkan
terkumpul dari seribu hati menjadi satu
menadah tangan dengan doa restu
kepada Tuhan yang menjanjikan pembalasan
kepadamu guru-guru yang berjiwa mulia
pembimbing petunjuk ke arah maju jaya.

Jujur dan ikhlas engkau berbakti
di kota dan desa atau di hujung negeri
cekal dan tabah menempuh dugaan
hidupmu bagaikan pelita di tengah malam
membakar diri menerangi yang kelam
jasamu akan kami kenang sepanjang zaman.

Ahmad Sarju
Klang
1988
Related Posts with Thumbnails