Tuesday, March 22, 2011

Petua Membelai Cinta.




INDAHNYA cinta jika bersulam keikhlasan. moleknya cinta andai setia yang dipertaruhkan dan untungnya bercinta jika berkekalan sampai bila-bila. Namun panas yang diharapkan sampai ke petang, siapa sangka hujan turun ditengah hari. Puas sudah membajai cinta, dibumbui dengan kasih dan sayang, membelai dan memupuknya dengan penuh tanggungjawab namun pasangan yang bertakhta di sanubari tetap berubah hati. Terlalu sukarkah mencintai isteri atau sememangnya si suami tidak pernah mensyukuri?


Datuk Ustaz Ismail Kamus membincangkan: "Perempuan umpama cermin, mesti cermat dan halus bila berhadapan dengan mereka. Lebih-lebih yang bergelar isteri. Sensitif, cepat kecil hati, merajuk dan minta dipujuk memang sifat wanita. Sebenarnya bukan susah melayan isteri.

Seorang suami yang pandai mengambil hati, memujuk rayu jika diperlukan, bercakap lemah lembut dan rajin bergurau senda, ia sudah cukup dan memadai. Perhatikan hasilnya, si isteri akan sanggup bersusah payah menyediakan makan dan minum di samping menguruskan rumah tangga, malah sanggup pula ke hulu ke hilir menambah pendapatan suami. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, Insya-Allah hidup pasangan begini akan rukun damai sampai bila-bila.

Bagaimanapun hal ini merujuk kepada wanita yang melimpah ruah dengan kasih dan sayang. Mengutamakan rumah tangga dan berusaha menceriakannya walaupun si suami bukan berpangkat besar atau mempunyai wang yang banyak. Apabila ditujukan kepada wanita yang memegang prinsip, ada wang abang sayang, tak ada duit abang melayang lain pula penyudahnya. Jika yang dicintai itu adalah wang, yang disayang itu adalah kemewahan, memang rumah tangga tidak bahagia dan aman. Kerana yang diburu adalah wang dan harta, maka bila ada kedua-duanya di depan mata, si isteri akan berasa nikmat kebahagiaan namun bila semuanya melayang, wanita begini akan berasa terlalu kecewa dan bersusah hati, ujarnya.

Beliau menambah, "Bagaimanapun kalau dikatakan, peranan wang membeli kasih dan sayang, ia memang berkait antara satu dengan yang lain. Namun wang itu sekadar dijadikan sebagai alat dan bukan matlamat. Wang berperanan menyenangkan pasangan membina rumah tangga. Mendapatkan sebuah rumah untuk keluarga, memiliki kenderaan dan apabila berlaku sebarang bencana, wang dapat merungkai masalah yang melingkari. Jika mengandaikan wang untuk membeli cinta dan mengeratkan kasih dan sayang, tandanya kita sudah tersilap menafsir.

Sepatutnya utamakan nilai kasih dan sayang yang diberikan oleh suami atau isteri, justeru andai suatu hari kita ditimpa musibah dan hidup dalam serba kekurangan, tidaklah cepat melatah.

Cuba perhatikan mereka yang tinggal di kampung. Ada pasangan yang hidup melarat dan menderita kerana tidak mempunyai wang yang banyak, namun ikatan kekeluargaan erat dan sendat dengan kasih dan sayang," jelasnya. Beliau tidak menafikan, wanita sekarang lebih ramai yang celik mata dan sedar tentang perlunya membelai cinta sampai ke tua, sedangkan lelaki asal ada orang yang menguruskan rumah tangga sudah memadai. Golongan begini, malas hendak memupuk atau membajainya walaupun mereka mampu melakukan.

Wanita ketara sudah celik mata. Ini dapat diperhatikan dalam ceramah atau syarahan. Mereka lebih banyak jika dibandingkan dengan kaum Adam. Sekiranya intipati ceramah mengenai pasangan, pihak si isteri akan mudah terima dan berusaha berubah apatah lagi jika kena dengan cara dan pendekatan yang betul. Sebaliknya si lelaki yang turut mendengar tetapi kurang menghayati. Jika terima pun dengan perasaan sombong dan egonya dan memang sukar mengubah kesilapan.

Dato Ustaz Ismail Kamus
Republish...

No comments:

Related Posts with Thumbnails