Saturday, May 7, 2011

Doktor Kelas Ke-3?


NEGARA sentiasa memerlukan doktor berkualiti tinggi. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menghentikan kursus baharu perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mampu membendung masalah lambakan doktor yang tidak berkualiti di pasaran ketika ini.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. David Quek Kwang Leng berkata, masalah tersebut berpunca daripada kewujudan banyak IPT yang menawarkan pelbagai kursus perubatan. Beliau berkata, pertambahan jumlah kursus perubatan itu menyebabkan pelajar bebas memilih kursus dengan kos yang rendah pula.
“Ketika ini ramai pelajar boleh mendaftar kursus perubatan dengan mudah walaupun mereka sebenarnya tidak layak. “Mereka langsung tidak memikirkan tanggungjawab yang bakal digalas apabila sudah bekerja nanti,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Beliau diminta mengulas keputusan Kementerian Pengajian Tinggi membekukan kursus baharu perubatan di IPT tempatan berkuat kuasa 1 Mei lalu hingga 30 April 2016. Tindakan itu dilakukan bagi memastikan pelajar perubatan mendapatkan latihan yang berkualiti dan menjadi seorang pegawai perubatan berdaya saing.
Kwang Leng menjelaskan, semua IPT di negara ini sama ada ia milik kerajaan mahupun swasta, bertanggungjawab sepenuhnya dalam melahirkan pegawai perubatan berkualiti tinggi. “Jika pelajar terbabit tidak mampu bersedia daripada semua segi, bayangkan bagaimana mereka hendak berdepan dengan pesakit yang kritikal. “Kita perlu melatih doktor yang terbaik dengan kualiti yang terbaik,” katanya. Pada masa ini nisbah jumlah pegawai perubatan kepada pesakit adalah 1:1000. Bagaimanapun kementerian percaya bahawa nisbah 1:400 dapat dicapai menjelang 2020 biarpun pembekuan tersebut dilakukan.
Sumber: Kosmo online.

No comments:

Related Posts with Thumbnails