Wednesday, March 16, 2011

Guru Perlu Lengkap Kemahiran Ikut Arus Pembangunan.


PUTRAJAYA 16 Mac – Golongan pendidik di negara ini perlu peka bahawa kemahiran mendidik sentiasa berubah dan berusaha meningkatkan serta menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dan persekitaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika usaha tidak dibuat untuk bergerak seiring dengan perkembangan ilmu, tenaga pendidik akan ketinggalan dalam banyak hal terutamanya dalam aspek pembangunan manusia dan melahirkan generasi berwibawa.

Berucap pada istiadat Konvokesyen Berpusat Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta golongan pendidik menguasai ilmu dengan mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi melahirkan generasi berilmu, membudayakan inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar.

"Jika dahulu, guru mengajar tulis baca, mengatasi masalah buta huruf sebagai tugas hakiki, kini cabaran yang digalas oleh guru jauh lebih berat.

"Realitinya, masyarakat kini memerlukan guru berkualiti tinggi daripada sudut keilmuan dan sahsiah, berintegriti, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” kata beliau. -BERNAMA

No comments:

Related Posts with Thumbnails