LAGUNA MERBOK - Tindakan pantas seorang lelaki yang dikenali sebagai Azhar mengeluarkan keretanya yang terbakar dari anjung rumah telah menyelamatkan diri dan keluarganya pada Selasa lalu, di Bandar Laguna Merbok.
Anaknya, Anas Zakwan Azhar, 17, berkata, dia yang pada ketika itu berada di tingkat atas rumahnya terasa gegaran luar biasa dengan bahang panas dan terkejut apabila menjenguk ke luar tingkap.
Menurutnya, apa yang mengejutkannya ialah dia mendapati kereta jenis Mercedes milik bapanya sudah terbakar dengan api marak dan terasa bahang serta gegarannya ke tingkat atas rumah.
“Saya nampak bapa terus meluru keluar dengan hanya bertuala dan bergegas membuka pintu kereta sebelah pemandu lalu menghidupkan enjin dalam keadaan kereta itu sudah diselubungi api marak.
“Kemudian saya bergegas keluar untuk membantu dengan membuka pintu pagar rumah kami dan bapa telah menghidupkan enjin kereta, memandu kereta keluar dari pekarangan rumah dalam keadaan sangat panik ketika itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Persiaran 5, Bandar Laguna Merbok, di sini, kelmarin.
Anas Zakwan berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 10 malam dan apabila bapanya ke luar dari kereta yang marak dengan api itu, satu letupan berlaku dan bersyukur semua ahli keluarganya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, rakannya, Mohd Nassif Mohd Nasir, 17, berkata, dia yang pada ketika itu menaiki motosikal melalui kawasan terbabit terkejut apabila mendapati kereta Mercedes milik bapa rakannya itu terbakar.
“Saya kemudiannya menghubungi bomba dan pasukan bomba tiba sepuluh minit selepas itu. Saya difahamkan kejadian kenderaan milik penduduk di sini kerap terjadi malah kereta jiran sebelah rumah saya di Persiaran 8 di sini turut terbakar dua hari sebelum kejadian ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian online
No comments:
Post a Comment