Wednesday, March 16, 2011

Dua Letupan Tidak Cetuskan Radioaktif.


SHAH ALAM – Dua letupan loji kuasa nuklear di Fukushima yang terletak sejauh 250 kilometer (KM) di Timur Laut Tokyo disahkan tidak mencetuskan penyebaran radioaktif berleluasa.


Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berpangkalan di Vienna, Austria, Yukiya Amano mengesahkan letupan itu berlaku disebabkan tindak balas gas hidrogen di kedua-dua loji tersebut.

“Tiga asas penting telah berlaku sebelum kejadian letupan itu. Semua operasi reaktor telah berhenti secara automatik, semua bahan nuklear terkawal serta sistem reaktor itu disejukkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kapal yang menempatkan bahan bakar nuklear dalam loji nuklear itu masih tegap menyebabkan tidak ada sebarang pelepasan bahan radioaktif di tahap berbahaya.
Beliau berkata, dalam keadaan yang berlaku kini, latar belakang sinaran sememangnya dijangka berada di tahap tinggi.

“Berdasarkan sistem pengesan yang digunakan, pada mulanya penyebaran radiasi mengalami sedikit peningkatan tetapi paras latar belakang sinar dikesan sudah menurun,” katanya.

Jumaat lalu, dunia digemparkan dengan kejadian gempa bumi dengan kekuatan 8.9 skala Richter sehingga mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter di Tokyo, Jepun. Keadaan itu menyebabkan lima reaktor nuklear, loji minyak dan pelabuhan terpaksa ditutup. Bencana tersebut juga turut menjejaskan ekonomi negara matahari terbit.

Sumber: Sinar Harian online

No comments:

Related Posts with Thumbnails