Berita yang dipetik drp Utusan Online:
PUTRAJAYA 15 Nov. - Seramai 467,970 orang calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 3,594 pusat peperiksaan seluruh negara dari 23 November hingga 20 Disember ini.
Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, seramai 26,142 petugas peperiksaan dan 22,183 pemeriksa skrip jawapan calon dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan seperti dijadualkan.
Menurutnya, daripada keseluruhan calon menduduki SPM itu, sejumlah 410,083 orang adalah calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.
Seramai 7,216 pula adalah calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Sekolah Perantis Tentera, 11,248 (calon Sekolah Swasta dan Sekolah Menengah Agama Rakyat) manakala 31,296 adalah calon persendirian.
''Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan itu berlangsung.
''Calon diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan SPM ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar," menurut kenyataan itu di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, menurut kenyataan itu, semua pengarah Jabatan Pelajaran Negeri telah dimaklumkan mengenai Ops Payung berkaitan banjir (Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil.6/2008).
Sekolah-sekolah yang berisiko tinggi dilanda banjir diarah menyediakan bilik peperiksaan alternatif yang lebih selamat.
Bilik Gerakan SPM akan beroperasi di Lembaga Peperiksaan dan akan dibuka dari 23 November hingga 20 Disember.
Waktu operasi ialah dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang. Bilik Gerakan itu boleh dihubungi melalui talian 03-88893551/ 03-88893601/ 03-88893520.
No comments:
Post a Comment