Salam...
Setiap kali aku melalui kawasan lapang yang agak luas ini, aku tertanya-tanya bilakah sekolah seperti yang tercatat pada papan tanda di atas akan wujud. Aku sudah hampir 3 tahun di sini, tetapi masih belum lihat tanda-tanda sekolah akan didirikan di atas tanah lapang ini. Pada firasat aku, tapak ini memang dikhususkan untuk pembinaan sekolah sejak awal pembinaan Bandar Laguna Merbok. Kini, sebahagian kawasan tersebut menjadi kebun sayur kepada penduduk sekitar.
Setahu aku, Bandar Laguna Merbok mempunyai pelbagai fasiliti yang terbaik. Antaranya ialah surau berhawa dingin, kelab BLM, kawalan keselamatan 24 jam, RFC dan lain-lain (Video BLM). Tak silap aku hampir 10 atau lebih pusat asuhan kanak-kanak/tadika juga terdapat di sini. Tapi malangnya, Laguna Merbok belum mempunyai sebuah sekolah untuk anak-anak di sini menyambung pelajaran.
Rata-rata penduduk di sini menghantar anak mereka ke Sek. Keb. Tasik Apong, Sek. Keb. Convent Father's Barre, Sek. Keb. Sg. Layar, Sek. Keb. Taman Ria dan beberapa buah sekolah lagi di sekitar Sg. Petani. Populasi penduduk di sini juga semakin meningkat dan mereka memerlukan sebuah sekolah untuk memudahkan akses pendidikan kepada anak-anak.
Atas kapasiti aku sebagai salah seorang penduduk di sini, aku berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab dapat meninjau kawasan tersebut dan mempercepatkan pembinaan sekolah khususnya sekolah rendah di Laguna.
No comments:
Post a Comment