ALOR SETAR, 3 Okt (Bernama) -- Bermula tahun ini, Jabatan Kesihatan Kedah menetapkan hanya warga kerja yang tidak merokok akan dipertimbangkan untuk Anugerah Khidmat Cemerlang.
Pengarah Kesihatan Kedah Dr Marzukhi Md Isa berkata langkah itu diambil bagi membasmi tabiat merokok di kalangan warga kerja jabatan itu.
"Kita tidak mahu perokok menjadi idola masyarakat. Kita tidak mahu doktor yang sentiasa mengingatkan pesakit tentang bahaya merokok adalah seorang perokok.
"Jadi kita mengambil inisiatif ini supaya mereka (kakitangan kesihatan) mengurangkan pengambilan rokok dan sekaligus berhenti merokok," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Jantung Sedunia peringkat negeri di Hospital Sultanah Bahiyah di sini Ahad.
Katanya tabiat merokok tidak baik untuk kesihatan yang merupakan punca kepada pelbagai penyakit termasuk sakit jantung.
Dr Marzukhi berkata kini terdapat 13,000 kakitangan di Jabatan Kesihatan Kedah dan daripada jumlah itu, 30 peratus adalah perokok.
"Sejak kita perkenalkan syarat baru untuk anugerah ini, saya dapati sudah ada kakitangan kita yang berhenti merokok dan ada juga yang sudah kurang merokok," katanya.
-BERNAMA
1 comment:
setuju....begitu juga dengan pemilihan calon PRK
Post a Comment