1. Manusia tetap manusia, tidak ada yang berbeza. Walaupun ada seribu satu perbezaan sesama manusia, mereka tetap manusia. Tidak kira pangkat, jawatan, kelulusan, bangsa, keturunan, kadar pendapatan, dan apa jua kelebihan; dia masih lagi seorang manusia. Tuhan menyebutkan, yang membezakan manusia adalah tahap keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan.
2. Manusia saling memerlukan. Semua orang memerlukan orang lain dalam hidup. Begitu juga dengan diri saudara. Bina sikap bekerjasama dan saling tolong menolong antara satu sama lain khususnya dalam organisasi. Ia seperti saudara melantun bola getah ke dinding; semakin kuat saudara membalingnya, semakin kuat ia berpatah balik. Oleh itu, berbuat baiklah kepada semua orang.
3. Manusia perlukan semangat kebersamaan. Sentiasa bersama dan memahami kehidupan mereka. Bina rasa mereka bersama saudara, dan saudara bersama mereka. Kemudian cetuskan idea perubahan daripada status yang sedia ada kepada status yang baru. Biasanya dalam keadaan sebegini, mereka turut bersedia untuk melakukan perubahan seperti saudara dalam organisasi.
4. Jatuh bangun hadapi bersama. Orang yang meminta mempunyai tahap keperluan yang lebih tinggi daripada orang yang tidak meminta. Tetapi bukanlah saudara tidak perlu menolong orang yang tidak meminta. Tolonglah semua orang yang mengalami kesulitan. Lama-kelamaan, saudara menjadi seseorang yang ‘berpengaruh’ dan ‘berkuasa’ di tempat saudara.
5. Perbezaan adalah kekuatan bukan kelemahan. Setiap orang mempunyai ciri, sikap, dan personaliti yang berbeza. Hadapi semua ini secara bersemuka dan berani. Jangan pula sibuk ‘berpolitik’ di tempat kerja semata-mata kerana tidak suka atau benci kepada seseorang. Jika ada perasaan seperti itu, berbicaralah dengannya secara matang dan jujur. Jangan tikam dari belakang atau mendedahkan kelemahan orang lain.
6. Percaya, setiap orang punyai kelebihan. Lihatlah ‘ke dalam’ diri seseorang itu. Lihatlah ciri-ciri yang menarik dan unik. Cuba bina rasa kagum dan penghargaan kepada ciri-ciri itu. Fokuskan kepada perkara-perkara yang memberikan motivasi kepada mereka. Adakah ia turut memberikan motivasi kepada saudara?
No comments:
Post a Comment