Tuesday, June 22, 2010

Nukilan Buat Seorang Sahabat

Aku mengenali seorang yang bernama Abang Jamal dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur pada tahun 2002. Ketika sampai di R&R Sg. Perak, bas berhenti seketika dan ketika itulah aku mula berkenalan dengannya. En Jamaludin berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang merupakan seorang pegawai di Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Sejak itu, aku semakin rapat dengannya. Hubungan kami ibarat abang dan adik. Beliau seorang yang baik hati, pemurah dan profesional. Sebagai seorang pegawai yang amat penting khususnya di Unit Percetakan LPM, beliau seorang yang amanah dan bertanggung jawab. Teringat aku, beberapa kali aku menjemputkannya di KLIA, apabila dia balik dari tugasan luar. Kalau dia ke Sarawak, beliau pastikan belikan aku, ikan terubuk Sarawak.

Pada tahun 2006, aku mendengar berita beliau telah diserang angin ahmar. Selepas pulih beliau kembali bertugas di pejabatnya di Putrajaya. Aku sempat menziarahinya beberapa kali di pejabatnya. Beliau sentiasa bersemangat untuk bekerja walaupun pergerakannya agak terhad. Penghujung tahun 2006, aku telah berpindah ke Pulau Pinang. Beberapa kali beliau menelefonku dan kali terakhir pada pertengahan bulan Ramadan. Pada hari Raya Aidilfitri aku menghantar sms ucapan selamat kepadanya, namun tidak berbalas. Aku tidak mengesyaki apa-apa, mungkin beliau sibuk atau terlupa...

Hampir sebulan selepas raya aku menghubunginya. Terkejut aku.....orang lain yang menjawab panggilan. Rupa-rupanya anaknya, Amin yang menjawab panggilan itu. Dia memberitahuku bahawa ayahnya telah meninggal pada hari raya keempat akibat serangan jantung. Hatiku amat sedih...kehilangan seorang sahabat yang amat baik. Semoga ruhnya ditempatkan bersama-sama orang yang soleh...

Kepada ahli keluarga abang Jamal yang membaca blog ini, khususnya Amin sudilah menghubungiku untuk menghubungkan kembali silaturrahim. Abang Jamal seorang yang perahsia dan tidak pernah menceritakan tentang keluarganya, apalagi tentang kerjanya...


Al-Fatihah....
Related Posts with Thumbnails