Saturday, April 17, 2010

Guru Lelaki Vs Guru Perempuan

Beberapa tahun yang lalu, dalam kuliah Perancangan Pendidikan, Prof. Hussein Hj Ahmad telah menjelaskan secara terperinci bagaimana wanita telah mendominasi pelbagai sektor khususnya pendidikan dan kesannya terhadap sistem pendidikan negara. Beliau menekankan tentang perlunya perancangan strategik di pelbagai peringkat dalam menghadapi situasi ini. Menurut beliau, perancang-perancang di Kementerian Pelajaran khususnya di EPRD perlu merangka pelan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang dalam menangani isu ini. Saya amat menyokong dan menghargai pandangan oleh bekas wakil Malaysia ke UNESCO dan Tokoh Guru peringkat Kebangsaan ini.

Hari ini, akhbar melaporkan bahawa pengambilan guru lelaki dan perempuan akan diseimbangkan mulai tahun ini. Ini bermakna mulai tahun ini pengambilan pelatih untuk mengikuti kursus pendidikan adalah 50:50. Menurut akhbar, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, langkah itu diambil ekoran jumlah guru perempuan yang terlalu ramai ketika ini.

Sebagai seorang guru, saya turut menyokong langkah yang diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk meyeimbangkan nisbah guru lelaki dan perempuan. Banyak kesan positif yang akan diperolehi apabila bilangan guru lelaki bertambah. Saya bersetuju dengan pandangan Dr. Puad Zarkashi bahawa masalah disiplin di sekolah boleh dikurangkan apabila lebih ramai guru lelaki. Apabila lebih ramai guru lelaki di sesebuah sekolah, maka mereka boleh membantu mengawal disiplin dengan lebih efisien. Selain itu, guru-guru lelaki boleh membantu tugas-tugas penting seperti aktiviti sukan dan kokurikulum. Guru lelaki juga amat diperlukan di sekolah-sekolah di kawasan pedalaman kerana faktor keselamatan. Jika guru perempuan terutamanya yang belum berkeluarga bertugas di kawasan terpencil, ia akan menimbulkan banyak kesulitan dan masalah kepada mereka.

Siapa pun kita, lelaki atau perempuan, sebagai sesorang guru kita perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memartabatkan profesion perguruan dan melonjakkan sistem pendidikan ke tahap yang lebih tinggi. Guru lelaki atau guru perempuan sama-sama bertanggungjawab menyampaikan ilmu dan membentuk generasi yang bersahsiah.

No comments:

Related Posts with Thumbnails