Monday, April 20, 2009

My Best Lecturer


Profesor Dr. Haji Hussein bin Haji Ahmad

Profesor Dr. Haji Hussein bin Haji Ahmad dilahirkan di Kluang, Johor pada 5 Mei 1942. mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kluang mulai tahun 1949 dan pendidikan menengah di Sekolah Inggeris Kluang pada tahun 1955. Beliau menimba ilmu perguruan di Brinsford Lodge, Universiti Birmingham, England pada tahun 1963. Memiliki Ijazah B.A.(Hons) dari Universiti Malaya pada tahun 1969 , Ijazah M.A.(Pendidikan) pada tahun 1975, M.A. (Sosiologi) pada tahun 1977 dan Ph.D (Pendidikan) pada tahun 1979 kesemuanya dari Universiti Stanford, California, Amerika Syarikat.
Karier perguruan beliau bermula sebagai guru di Negeri Terengganu dan Selangor dari tahun 1964 hingga 1969. Beliau pernah bertugas sebagai Pengetua di SMK Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dari tahun 1970 hingga 1972. Seterusnya telah dilantik menjadi Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD), Kementerian Pelajaran Malaysia dan dilantik sebagai Profesor Madya dan Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (1983). Beliau pernah bertugas sebagai Pengarah, Penyelidikan & Perancangan, Jabatan Perpaduan Negara (1986 - 1988) dan Timbalan Ketua Pengarah, Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri (1993 -1994) dan Pengarah, Institut Aminudin Baki (1989 - 1992). Setelah persaraan wajib , beliau dipilih untuk mewakili negara sebagai Wakil Tetap/Duta Malaysia ke UNESCO (1997-2000). Pada tahun 2001, beliau dilantik sebagai Profesor di Institut Aminudin Baki. Ketika ini beliau memegang jawatan Profesor di Institut Pengajian Kepengetuan, Kampus Kota, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Beliau terus menabur bakti dan kerap menyertai persidangan antarabangsa sebagai wakil negara atau kosultan pakar. Kini beliau merupakan Ahli Majlis Council of Consultant Fellows, International Institute of Educational Planning (IIEP), UNESCO, Paris dan Timbalan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad. Penglibatan beliau dalam bidang pendidikan masih berterusan biar pun telah berkhidmat selama 42 tahun. Sebagai menghargai jasa dan sumbangannya dalam pelbagai bidang, beliau telah dianugerahkan Pingat Kesatria Mangku Negara K.M.N (1983), Pingat Darjah Seri Melaka D.S.M (1996) dan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 2003. Beliau juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan pada tahun 2006.

No comments:

Related Posts with Thumbnails