| Novel Mengopi Bersama Ayah |
Novel remaja ini mengisahkan Hadi yang
tinggal bersama ayah dan ibu serta dua orang adik-beradiknya. Keluarga hadi
bukanlah orang yang senang dan mewah. Namun mereka hidup bahagia. Ayah Hadi merupakan seorang yang tegas
dalam mendidik anak-anaknya.
Penulis menekankan tema kekeluargaan yang
sangat kuat. Ia berjaya membawa pembaca merasai nilai sebuah perhubungan dan
ikatan kekeluargaan.
Bab pertama dalam buku ini pembuka bicara
bertajuk Ikrar Sebuah Kelahiran. Ia sebuah penceritaan yang ringan, namun di
dalamnya tersimpan banyak hal yang mengharukan. Nilai pengorbanan dan
kesetiaan banyak diselitkan dalam bab ini. Menceritakan sebuah proses
melahirkan hadi tanpa ayahnya di sisi kerana terpaksa bertugas jauh demi
tanggungjawab.
Disebabkan rasa bersalah dan ingin menebus
ketidaksempatan ayah menyambut kelahiran Hadi, ayahnya berikrar “ anak ini
akan aku jadikan sebagai teman setiap kali mengopi.” Di sinilah bermulanya
kisah panjang yang diceritakan dalam buku ini.
Ia mengisahkan tentang tiga beradik yang
tinggal dengan orang tua mereka. Hadi bersama abang dan kakaknya. Bab demi
bab menceritakan kisah hidup mereka
yang menginjak dewasa sehingga berjaya mengejar cita-cita mereka.
Seterusnya di hujung bab dalam buku ini
benar-benar menangkap seluruh emosi pembaca. Sepanjang pembacaan, saya
menemukan kepelbagaian meskipun temanya sama, namun jalan cerita tidak mudah
untuk diteka. Ia mengundang air mata dan rasa hiba.
Novel yang banyak mengangkat tentang kasih
sayang, mengingatkan tentang tanggungjawab kepada kedua orang tua serta
bertolak ansur antara adik- beradik. Ia menjadi kekuatan dalam novel ini.
Boleh dikatakan air kopi adalah simbolik
kepada buku ini kerana di setiap bab, penulis akan mengaitkan kopi dengan
pelbagai latar belakang dan membantu cerita ini berjalan.
Air kopi, kalau diminum berseorang tanpa
teman, nikmatnya hanya secawan itulah sahaja. Tetapi kalau diminum berteman,
apatah lagi teman yang cukup akrab, pastinya kenikmatan rasa kopi dan
aromanya akan berganda. Kopi yang berkualiti dan harum aromanya jika
diterjemahkan dan diapresiasikan dalam bentuk bacaan, nescaya seluruh naskhah
itu akan semerbak hingga menjadi bualan khalayak pembaca.
Keseluruhannya bagi saya novel
ini sangat menarik dan mempunyai nilai sentimental terhadap penulis yang
dikongsi bersama pembaca.
Buku ini perlu dimiliki kerana:
1. Mengisahkan hubungan kasih
sayang antara seorang anak dengan ayahnya.
2. Mempamerkan nilai-nilai murni
yang patut ada dalam sebuah keluarga.
3.
Keluarga yang harmoni merupakan elemen yang
penting dalam sebuah masyarakat.
*Saya mengenali penulis novel ini, saudara Rafi Harumin melalui facebook. Seringkali jugak kami bermesej melalui aplikasi Whatsapp.
|
No comments:
Post a Comment