Pagi ini saya sekadar ingin berkongsi artikel di bawah:
FENOMENA langit yang akan berlaku sepanjang tahun 2013 pasti menarik perhatian pencinta dunia astronomi terutamanya mereka yang sering mencari peluang untuk merakam momen terbaik kejadian alam tersebut.
Antaranya termasuklah juraian pelbagai jenis meteor, gerhana bulan separa, pergerakan planet, asteroid melintasi Bumi dan kehadiran komet yang berada dalam senarai panjang Almanak.
Menurut Presiden Kelab Astronomi Amatur Malaysia (KAAM), Shahrin Ahmad, almanak merupakan satu set senarai fenomena langit yang telah direkod akan berlaku pada tahun ini.
“Kesemua fenomena itu boleh dikira dengan tepat tarikh dan waktu kejadiannya kerana pergerakan objek di angkasa seperti matahari, bulan dan planet sentiasa berada pada kedudukan yang sempurna.
“Bayangkan, kita boleh mengira kedudukan waktu hilal anak bulan atau lokasi berlakunya gerhana matahari dan negara yang terlibat dengan spesifik. Semua kecantikan dan kesempurnaan kejadian langit itu diatur Allah SWT.
“Disebabkan itu, melalui senarai almanak yang dibuat, kita boleh merancang perkara yang hendak dilakukan dalam menghayati keindahan fenomena tersebut dengan cara merakam gambar, video dan sebagainya,” ujar Shahrin yang juga merupakan pengasas portal dalam talian, FalakOnline yang memaparkan pelbagai maklumat astronomi sama ada dari dalam mahu pun luar negara.
Tambah Shahrin, kebanyakan fenomena langit yang menjadi tumpuan adalah melibatkan kedudukan bulan dengan planet. Maklumat itu biasanya kurang diketahui masyarakat yang tidak mendalami bidang astronomi atau falak.
“Sebagai contoh, pada satu malam, kita dapat melihat bulan penuh. Di sebelahnya pula terdapat sebutir bintang yang bersinar terang. Bagi orang awam, mereka pasti menganggap ia hanya sebutir bintang seperti gugusan bintang lain yang ada.
“Namun, hakikatnya bintang terang yang dapat dilihat itu merupakan sebuah planet seperti Zuhal atau Musytari. Itu antara ilmu yang boleh dipelajari jika mereka mengikuti kalendar almanak yang telah disediakan,” jelas Shahrin yang berpengalaman dalam dunia astronomi tempatan selama dua dekad.
Selain itu, masyarakat di Malaysia boleh menyaksikan fenomena meteor turun ke Bumi yang akan berlaku pada bulan-bulan tertentu atau disebut juga sebagai bermusim.
Selepas juraian meteor Quadrantids pada 3 dan 4 Januari lalu dengan kadar 40 meteor dalam tempoh satu jam (40/sejam), terdapat juga meteor Eta Aquarids pada bulan Mei (10/sejam), Perseids (Ogos, 60/jam), Orionids (Oktober, 20/sejam), Leonids (November, 40/sejam) dan Geminids (Disember, 60/sejam).
“Tahun ini juga peristiwa Istiwa’ matahari di atas Kaabah akan berlaku sebanyak dua kali iaitu pada 28 Mei dan 16 Julai. Kedua-duanya terjadi tepat pukul 5.28 petang waktu tempatan.
“Melalui fenomena ini iaitu kedudukan matahari berada tegak di atas Kaabah di Masjidil Haram, Mekah, ia akan memudahkan dan memberi peluang kepada umat Islam memeriksa kembali arah kiblat yang betul di lokasi masing-masing,” terang Shahrin lagi.
Hampir kesemua fenomena langit yang akan berlaku sepanjang tahun ini boleh dilihat dengan mata kasar tanpa perlu kepada peralatan astronomi seperti binokular atau teleskop.
Bagaimanapun, di lokasi tertentu faktor cuaca dan pencahayaan memainkan peranan dalam menentukan sama ada kejadian itu boleh dilihat dengan baik atau sebaliknya.
Sila rujuk jadual almanak Astronomi agar kita bersedia untuk melihat perkara menarik yang akan berlaku sepanjang 2013.
Credit to: http://www.kosmo.com.my
9 comments:
betapa disetiap kejadian tersebut...bukti kebesaran ALLAH.....
Kakak harap pada 28 Mei ini kakak boleh ingat sebab ia juga tarikh ulangtahun perkahwinan kakak yg ke 18 (hahaha... dah tua ni).
Cuma harap tak hujanlah pada petang itu.
saya suka baca dan tengok gambar2 fenomena alam...rasa betapa indahnya ciptaan tuhan yang kita tak tergapai
menarik sgt2 !
betul akak...subhanallah
tarikh penting tu..
moga cuaca baik pd 28 Mei nanti
sama la..
tq.sekadar berkongsi.
besarnya kuasa Allah.. terima kasih atas perkongsian..
Post a Comment